Kamis, 08 September 2011

Pengertian mengenai kekristenan dan kenapa isa itu di sebut sebagai tuhan? bagian 1


Yesus itu Allah?
Isa Al-Masih itu ilahi?
Orang Islam menerima Hazrat Isa sebagai seorang yang baik dan bermartabat tinggi tetapi menolak keilahianNya. Mereka mengatakan bahawa merekalah satu-satunya golongan manusia yang memberi penghormatan yang sesuai kepada Hazrat Isa; tidak seperti orang Yahudi yang mengatakan Hazrat Isa adalah anak luar nikah Siti Maryam atau seperti orang Kristian yang memuji dan memuliakan Hazrat Isa sebagai Allah. Bagi mereka kelakuan sebegini tidak seharusnya dibuat dan merupakan satu penghinaan kepada Hazrat Isa.

“Akulah Allah”
Salah satu kritikan yang cuba ditonjolkan oleh orang Islam untuk menyangkal keilahian Hazrat Isa berbunyi begini:
Di dalam seluruh Alkitab, Hazrat Isa tidak pernah berkata, “Akulah Allah”, atau, “Sembahlah saya.”
Kalau kita berharap untuk melihat kenyataan di atas dalam Alkitab, sememangnya kita akan kecewa. Memang benar tidak ada catatan dalam Alkitab di mana Hazrat Isa secara terus-terang mengkhabarkan keilahianNya. Hazrat Isa tidak pernah berbuat demikian, menyebarkan kepada umum identiti dan kedudukannya yang sebenar.
Apabila Hazrat Isa memulakan pelayanannya, Dia berkata bahawa Dia adalah hamba yang datang bukan untuk dilayani tetapi untuk “melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang” (Markus 10:45). Hazrat Isa telah merendahkan diriNya sebagai manusia supaya Dia dapat melayani mereka. Ini bukan sesuatu yang mustahil. Hal seperti ini ada berlaku di sekeliling kita. Apabila Perdana Menteri kita melipatkan lengan bajunya dan turun ke sawah padi untuk menuai padi yang sudah masak, membuktikan dia berjiwa rakyat, dia tetap Perdana Menteri kita. Walaupun dia buat sementara waktu telah turun ke tahap seorang petani, kedudukannya sebagai pemimpin negara tidak pernah berubah.
Kita perlu memahami hakikat ini terlebih dahulu, jika kita mahu memahami sebabnya mengapa Hazrat Isa tidak pernah berkata Dia Allah secara terbuka. Pelayanan dan pernyataan Hazrat Isa berasaskan matlamatNya datang ke dunia dan bukan identiti peribadiNya. Kalau begitu, adakah Hazrat Isa akan mengisytiharkan keilahianNya secara terbuka setelah Dia memilih kehidupan sebagai hamba dengan penuh kerendahan hati? Saya rasa tidak! Tambahan pula, bolehkah Hazrat Isa melayani orang yang sakit, berdosa, miskin, tanpa harapan dan memikul beban yang berat jika Dia mengutamakan pengisytiharan identitiNya yang sebenar? Jelas jawapannya tidak! Itulah sebabnya Hazrat Isa sering melarang orang mengheboh-hebohkan identitiNya yang ilahi.
Dia menyembuhkan semua orang sakit, dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia. (Matius 12:15,16).
Hazrat Isa, walaupun memiliki sifat Allah, tidak memilih untuk mengisytiharkan aspek tersebut tetapi sebaliknya dia mengambil rupa seorang hamba dan menjadi sama seperti manusia. Kalau ini sengaja dilakukan Hazrat Isa, maka tidak masuk akallah jika Dia mengumumkan keilahianNya kerana hal itu tidak sejajar dengan matlamat Dia menjelma di dunia.
Sebenarnya Dia ilahi tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia dan hidup seperti manusia. (Filipi 2:6,7).
Sebenarnya, adalah mudah bagi manusia percaya sekiranya Hazrat Isa mengakui secara terus-terang identitiNya yang sebenar.
Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Hazrat Isa. Mereka bertanya, “Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?” (Yahya 10:24)
Tetapi Hazrat Isa enggan menyatakan identitiNya dengan terus terang kerana kepercayaan yang berdasarkan kenyataanNya tidak memerlukan iman lagi. Iman “bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” (Ibrani 11:1). Mungkinkah Hazrat Isa menyatakan keilahianNya secara tidak langsung supaya kita bebas menilai tindakan-tindakanNya sehingga membawa kepada pertumbuhan iman yang kukuh? Walaupun Dia tidak menyatakan siapa dan apa Dia sebenarNya, saya percaya Hazrat Isa telah memperlihatkan siapa diriNya yang sebenar melalui tingkah lakuNya lalu membiarkan manusia menilai apa yang sebenarnya dinyatakan oleh perkataan dan perbuatanNya.
Umat Kristian percaya bahawa Hazrat Isa adalah Allah walaupun dia tidak menyatakan ini di mana-mana bahagian Alkitab dengan terus-terang. Cara untuk mengatasi dilema ini bukanlah dengan mencari ayat-ayat tertentu di mana Hazrat Isa berkata dia Allah, tetapi dengan membaca keseluruhan Alkitab, khasnya Perjanjian Baru, dan merenungkan identitinya yang sebenar. Adalah cukup jelas dalam kata-kata dan perbuatannya, bahawa keilahian Hazrat Isa diakui dan tidak dapat dielakkan. Dari kata-kata Hazrat Isa sahaja, adalah sangat menghairankan jika kita berfikir bahawa dia adalah insan biasa sahaja. Keseluruhan rekod Injil menyatakan mesej ini: Hazrat Isa bukan hanya seorang manusia biasa.
Mari kita lihat beberapa contoh daripada Kitab Injil:
Hazrat Isa mengakui kewujudannya yang kekal
Mereka berkata kepada Hazrat Isa, “Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?” Hazrat Isa menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.” (Yahya 8:57-58)
Hazrat Isa Maha Tahu
Apabila Hazrat Isa nampak Natanael datang kepadaNya, Dia berkata tentang Natanael, “Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!” Natanael bertanya kepada Hazrat Isa, “Bagaimana tuan mengenal saya?” Hazrat Isa menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” (Yahya 1:47-48)
Hazrat Isa menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.” Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.” Lalu Hazrat Isa berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.” (Yahya 4:16-18)
Hazrat Isa akan menghakimi segala bangsa
Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada AnakNya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. (Yahya 5:22-23b)
Hazrat Isa Maha Kuasa
Mukjizat-mukjizatNya mengukuhkan kebenaran ini. Memang diakui bahawa nabi-nabi lain juga melakukan mukjizat, tetapi mereka melakukannya dengan memohon kuasa Allah melalui doa. Hazrat Isa tidak melakukan ini kerana sifat keilahianNya berkuasa melakukan mukjizat. Juga perlu dinyatakan di sini bahawa murid-murid Hazrat Isa melakukan berbagai mukjizat dalam nama Hazrat Isa:
Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku beri kepadamu: dengan kuasa Hazrat Isa Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!” (Kisah Para Rasul 3:6).
Hazrat Isa berkuasa mengampuni dosa
Hazrat Isa melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepaa orang lumpuh itu, “AnakKu, dosamu sudah diampunkan. Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa. Lalu Hazrat Isa berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!” (Markus 2:5,10-11)
Hazrat Isa mengaku datang dari syurga
“. . . kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakKu sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Akulah roti yang memberi hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. (Yahya 6:38a, 51a)
Hazrat Isa akan membangkitkan semua orang yang mati
“. . . Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak BapaKu: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepadaNya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat” (Yahya 6:39b-40)
Hazrat Isa berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberi hidup. Sesiapa yang percaya kepadaKu akan hidup, meskipun dia sudah mati.” (Yahya 11:25)
Kedudukan akhirat semua manusia bergantung kepada tindakbalas mereka kepada identiti Hazrat Isa.
Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diriNya AKU.’ (Yahya 8:24)
Kesemua hakikat ini menunjuk kepada keilahian Hazrat Isa. Semua yang dinyatakan di atas adalah sifat dan hak istimewa Allah yang juga diakui dalam Islam. Apakah dengan menyatakan semua ini, Hazrat Isa tidak berkata dia itu Allah? Seringkali Dia dituduh menghina martabat Allah apabila menyatakan hal-hal di atas. Walaupun Dia tahu bahawa tuntutNya itu akan membawa kepada hukuman mati dia tidak berganjak daripada pernyataan-pernyataannya yang penuh kontroversi itu.
Semua orang Yahudi di situ menjawab, “Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah.” (Yahya 19:7)
Jelaslah bagi Hazrat Isa bahawa segala kenyataanNya adalah benar dan diucapkan dengan akal yang waras. Al-Quran memaparkan Hazrat Isa sebagai seorang yang benar, waras dan terhormat. Jadi, adalah mustahil untuk Hazrat Isa berdusta, apatah lagi sanggup mati untuk kenyataan-kenyataan yang Dia sendiri anggap salah! Jika kata-kata ini tidak diucap oleh Hazrat Isa (seperti yang disarankan sesetengah pihak), apakah Hazrat Isa mahu mati untuk kenyataan-kenyataan dusta orang lain tentang diriNya?
“Sembahlah Saya”
Pernahkah Hazrat Isa berkata kepada orang ramai, “Sembahlah saya”? Ini adalah satu soalan yang sukar dijawab dan jawapannya berkaitan dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini, iaitu pernyataan Hazrat Isa akan keilahianNya. Jika Hazrat Isa secara umum tidak mengakui diriNya sebagai Allah, apakah patut kita mengharapkan Dia memberitahu orang ramai supaya menyembahNya? Pasti tidak!
Walaupun begitu, Hazrat Isa menyatakan keilahianNya dengan jelas dalam kenyataan-kenyataan dan perbuatan-perbuatanNya yang luarbiasa. Ketika Dia membuat satu pengakuan atau mukjizat-mukjizatNya ada orang yang menyembah Dia. Terdapat banyak peristiwa di mana orang menyembah Hazrat Isa dan dalam setiap peristiwa Dia tidak pernah menolak atau menghalang penyembahan mereka.

Tidak ada komentar:

Adsense Menu